Friday, July 17, 2009

Lembaran Pertama

Selamat Datang ke Laman Blog Urusetia Kebajikan UKM.

Blog ini dibina atas semangat dan kesungguhan ahli-ahlinya dalam berganding bahu untuk membantu dan meringankan beban para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. Di samping itu, keprihatinan yang timbul di kalangan kami juga mendorong kami membuka saluran baru untuk memperkenalkan serta mendekatkan diri kepada semua mahasiswa.

Urusetia Kebajikan UKM bernaung secara terus dengan Unit Kebajikan Pelajar UKM. Kepimpinan pelajar dan kakitangan bergabung untuk bersama-sama menyelesaikan masalah pelajar. Buat masa ini kekuatan kepimpinan Urusetia Kebajikan sudah kukuh dengan penglibatan beberapa exco yang sudah lama berkecimpung dalam aktiviti kebajikan dan juga beberapa orang exco kebajikan dari setiap JAKSA kolej kediaman.

InsyaAllah, lembaran pertama ini akan membawa khabar gembira kepada semua pengunjung blog terutama mahasiswa/i UKM. Kami akan menyediakan borang kebajikan secara dalam talian (online) yang terletak di bahagian bawah laman blog ini, yang membolehkan para pelajar boleh menyalurkan permasalahan ke pengetahuan kami supaya ianya dapat diselesaikan dengan baik. Jika pelajar tersebut tidak berkesempatan untuk ke pejabat kami, mereka boleh menggunakan perkhidmatan pertama ini. Identiti pemohon atau pengadu juga akan dirahsiakan. Selain itu, blog ini juga akan menguar-uarkan beberapa berita terkini berkenaan biasiswa, pinjaman, zakat dan lain-lain bantuan kepada para pelajar UKM.

Program yang dirancang oleh pihak urusetia juga bakal diperkenalkan dalam ruangan entri, tidak kira samada dari segi pemberitahuan atau pun laporan. Program-program di luar dan dalam kampus juga amat penting bagi pembangunan sahsiah dan modal insan para mahasiswa, selain dapat meringankan beban pelajar dari semasa ke semasa.

Oleh yang demikian, marilah bersama-sama menyokong kepimpinan dan peranan blog ini ke arah saluran bantuan yang berkesan. InsyaAllah kami dari Urusetia Kebajikan yang berpangkalan di pejabat Unit Kebajikan Pelajar, Aras 4, Bangunan Pusanika UKM akan berusaha membantu pelajar yang mempunyai pelbagai dan bermacam-macam masalah.

No comments: