Sunday, July 19, 2009

Isi Borang Keahlian Jika Berminat

Sempena Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar anjuran Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) pada 20 - 24 Julai 2009 ini, Urusetia Kebajikan JPPel UKM tidak ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkannya dengan membuka kaunter pendaftaran dan pameran di Aras 2, Bangunan Pusanika UKM. Acara selama lima hari ini akan melibatkan kesemua persatuan berdaftar termasuk urusetia HEPA yang mana setiap satu akan mengadakan sesi promosi, pameran dan pendaftaran bagi menarik perhatian pelajar tahun satu terutamanya untuk menyertai persatuan yang diminati sekaligus menjadi ahlinya.

Pada edisi kali ini, Urusetia Kebajikan JPPel UKM buat pertama kalinya menyertainya secara serius. Jika pada edisi lalu, pihak urusetia tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam menyediakan promosi yang berkesan kepada para pengunjung, maka pada minggu hadapan, insyaAllah Urusetia Kebajikan JPPel UKM akan mengadakan promosi hebat kepada para pelajar baru UKM.

Urusetia Kebajikan JPPel UKM telah mengambil inisiatif dan langkah ke hadapan kerana mahu mencari ahli di kalangan pelajar baru. Sebelum ini, organisasi Urusetia Kebajikan JPPel UKM hanya dipenuhi oleh gabungan exco kebajikan JAKSA setiap kolej, tetapi ianya hanya megah dengan nama gabungannya. Ahli bagi setiap program yang dijalankan pula ditarik dari kalangan rakan-rakan exco. Situasi ini mendatangkan kesulitan kepada exco untuk membentuk organisasi yang mantap. Ini kerana setiap exco JAKSA yang diserapkan ke dalam organisasi ini telah sedia ada sibuk di kolej mereka dan sukar untuk memberikan komitmen di urusetia.

Maka dengan itu Urusetia Kebajikan JPPel UKM akan membuka pendaftaran percuma kepada semua pelajar yang berminat, tidak kira tahun berapa, dari fakulti mana dan juga mana-mana kolej kediaman. Dan buat julung kalinya juga, pendaftaran keahlian Urusetia Kebajikan JPPel dijalankan secara dalam talian (online), tidak menggunakan borang dengan cara menulis. Borang keahlian terletak di bahagian bawah laman blog ini. Untuk makluman, sesi pendaftaran ini tidak berlangsung dalam Minggu Pengenalan Persatuan sahaja, sebaliknya borang ini sentiasa dibuka sepanjang masa. Maksudnya, sesiapa boleh mengisi borang keahlian ini di mana-mana sahaja dan juga pada bila-bila masa. Pihak urusetia akan sentiasa mengemaskini pangkalan data untuk memeriksa senarai keahlian baru.


Akhir kata, pihak Urusetia Kebajikan JPPel UKM mengalu-alukan keahlian baru dari pelajar-pelajar baru UKM dan marilah kita bersama-sama menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk merealisasikan matlamat dan aktiviti kebajikan ke arah pembangunan insan pelajar yang berkesan.

No comments: